User Tools

Site Tools


perlombongan

1880-an: Perlombongan

“Di awal tahun 1880-an, Ipoh hanyalah sebuah perkampungan yang mengandungi sebuah pasar, beberapa buah rumah atap dan beberapa ratus orang penduduk. Hanya dua buah jalan kereta lembu yang menghubungi Gopeng ke Kota Bharu [Perak] dan Papan ke Batu Gajah.

Perusahaan perlombongan bijih timah agak begitu lembap kerana jalan raya yang tidak sempurna. Di samping itu, pergaduhan puak-puak Gee Hind dan Mei San juga turut juga membantutkan pengeluaran bijih timah di Lembah Kinta.

Bijih timah dari Kinta dibawa melalui sungai ke Teluk Anson sebelum dihantar oleh kapal ke Pulau Pinang. Bekalan makanan juga terpaksa melalui jalan yang sama dan mengambil masa selama seminggu.

Seseorang yang ingin ke Kula Kangsar terpaksa melalui sungai ke Teluk Anson sebelum menumpang kapal api ke Pulau Pinang. Selepas itu, sekali lagi melalui sungai ke Larut. Dari Larut barulah mereka menggunakan jalan darat ke Port Weld dan akhirnya ke Kuala Kangsar. Perjalanan ini mengambil masa dua minggu.

Ipoh mula bertukar wajah apabila pergaduhan puak-puak yang bertentangan tamat. Sistem pengangkutan mula diperbaiki dan Ipoh kini masuk era perkembangan dan pembangunan yang amat pesat.

Kedatangan pelombong-pelombong Cina dari Pulau Pinang, Larut dan Teluk Anson dipertengahan 1880-an telah merubah sosio-ekonomi penduduk Kinta dan Ipoh.

Masyarakat melayu dan orang asli yang tinggal di tebing Sungai Kinta menjalankan aktiviti-aktiviti ekonomi tukar menukar barangan dengan Inggeris. Kedua-dua kaum yang dikira terbesar iaitu Melayu dan Cina menjalankan kegiatan-kegiatan perusahaan perlombongan bijih timah.

Dalam tahun 1889, kawasan Kinta mengeluarkan 63,367 pikul bijih timah setahun. Pengeluarannya meningkat ke 130,185 pikul di dalam tahun 1890.

Sejak tahun 1890, Lembah Kinta merupakan pengeluar bijih timah terbesar di Malaya dan status ini telah memperkukuhkan lagi dengan beberapa factor penting di antaranya:-

a) Terjumpanya kawasan melombong bijih timah di tambun, Lahat dan Menglembu.
b) Penubuhan Syarikat Perniagaan Selat di penghujung abad ke 19 yang beribu pejabat di Ipoh.
c) Kedatangan para pelombong Eropah yang membawa teknologi kapal korek.
d) Penubuhan Dewan Perlombongan Perak di Ipoh yang telah berkembang menjadi Dewan Perlombongan Negara-negara Bersekutu dan akhirnya Dewan Perlombongan Negeri-negeri Malaya.
e) Ipoh juga merupakan ibu pejabat Persatuan Pelombong-pelombong Cina dan Dewan Perlombongan Bumiputera Malaya.

Dengan itu tidak hairan semenjak 1890, pengeluaran bijih timah di Lembah Kinta semakin meningkat [13,000 tan] setahun sehingga 60 peratus dari pengeluaran bijih timah Negara datangnya dari negeri Perak. Pengeluaran bijih timah di Lembah Kinta sahaja melebihi mana-mana Negara di dunia seperti Bolivia, Thailand dan Indonesia.

Di samping itu, bandar Ipoh tidak lupa jasa dua orang tokoh pelombong Cina yang membangunkan bandar tersebut. Tokoh-tokoh yang dimaksudkan itu ialah Mr. Leong Sin Nam dan Mr. Wu Chong Eik.

Dalam tahun 1909, Mr. Leong Sin Nam telah membeli beberapa buah lombong dan kebun getah. Beliau telah membawa orang-orang Cina bekerja dengannya di samping melibatkan dirinya sebagai seorang wakil Koumintang Malaya. Beliau juga diberi kepercayaan oleh penjajah Inggeris sehingga dilantik menjadi Ahli Parlimen Pentadbiran Inggeris. Beliau telah mendapat satu penganugerahan Pingat King Goerge V dan V1 sebagai menghargai jasa-jasa beliau.

Tokoh kedua, Mr. Wu Chong Eik datang ke Malaya Ketika berusia empat tahun sebelum berhijrah ke Ipoh. Beliau pernah bekerja sebagai pembantu kedai di Pulau Pinang.

Mr. Wu Chong Eik datang ke Ipoh ketika berusia 22 tahun dan lapan tahun kemudian telah memiliki kawasan perlombongan di Tronoh, Pusing, Tanjung Tualang dan Menglembu.”

(Sumber: Jabatan Perancang Bandar, Majlis Bandaraya Ipoh: |"Sejarah Ipoh: Perlombongan").

Lombong bijih timah di Tambun, 1910
Lombong bijih timah di Tambun, 1910 (Kleingrothe, C.J., 1910 @ Leiden University Libraries: |"KITLV A360 - Tinmijn te Tambun bij Ipoh").

Selain petikan dan sumber yang dinyatakan, rencana ini telah diusahakan oleh TMK Pulasan, di bawah kelolaan Syahrul Sazli Shaharir <sazli@pulasan.my>. Pengakuan penting: Kami bukan ahli sejarah! Sila klik di sini untuk penjelasan lanjut.

perlombongan.txt · Last modified: 2023/05/10 11:39 by sazli