User Tools

Site Tools


kg_kepayang

This is an old revision of the document!


Kampung Kepayang (1528)

Suatu sudut Kampung Kepayang menghadap ke utara, 6 September 2025
Suatu sudut Kampung Kepayang menghadap ke utara, 6 September 2025. Kelihatan menara masjid warisan dilatari Gunung Matsurat (di tengah gambar), dan kubah masjid baru di sebelah kiri.

Dirujuk oleh

1528: Pembukaan

“Pada satu ketika dahulu, Kinta merupakan sebuah 'Negeri' yang didiami oleh kaum 'Orang Darat' yang juga merupakan masyarakat Orang Asli. Mereka menguasai kawasan darat dan laluan sungai di dalam Kinta ini. Pada sekitar tahun 1528, Tun Kelalang yang merupakan anak kepada Pemerintah Hulu Perak, Tun Saban Balik telah menyusur ke hilir Sungai Perak dan memasuki salah sebuah cabang sungainya lalu membuka sebuah petempatan dinamakan Kepayang yang terletak di dalam Mukim Ulu Kinta.

Tun Kelalang merupakan Pemerintah Melayu Terawal di Kinta. Keturunannya telah berasimilasi dengan kaum 'Orang Darat' melalui perkahwinan antara sesama mereka. Kini, tidak lagi wujud kaum 'Orang Darat' di kawasan Kepayang dan mereka kini lebih dikenali sebagai Melayu Kinta. Keturunan Tun Kelalang inilah yang mewarisi gelaran Toh Senongsa Seri Nara Wangsa. Toh Senongsa Seri Nara Wangsa yang pertama merupakan anak beliau iaitu Toh Pasir Panjang bin Tun Kelalang. Pusat pemerintahan bagi pemegang gelaran Toh Senongsa Seri Nara Wangsa bertempat di Kampung Kepayang. Setelah berlakunya perkahwinan antara anakanda kepada Toh Senongsa Seri Nara Wangsa IV Toh Nyior Manis iaitu Toh Puan Intan dengan putera kepada Maharaja Kinta Toh Chendang bin Kulop Kinta Toh Changkat Piatu iaitu Toh Tambak. Gelaran Toh Senongsa Seri Nara Wangsa ini kemudian diserapkan ke dalam sistem pemerintahan Kesultanan Melayu Perak sebagai Orang Besar Enam Belas.

Hasil daripada perkahwinan ini menyebabkan gelaran Panglima Kinta Seri Amar Bangsa DiRaja dan Toh Senongsa Seri Nara Wangsa dipegang oleh keluarga yang sama. Kelazimannya anak sulung memegang gelaran Orang Besar Lapan, Panglima Kinta Seri Amar Bangsa DiRaja manakala adindanya memegang jawatan Orang Besar Enam Belas, Toh Senongsa Seri Nara Wangsa. Peranan Toh Senongsa Seri Nara Wangsa setelah bergelar Orang Besar Enam Belas adalah menjadi Kapit kepada Dato Panglima Kinta. Peranan beliau tertumpu kepada mentadbir hasil dagangan di wilayah kecil Kepayang yang kini dikenali sebagai Kampung Kepayang.”

(Sumber: Mohamed Faizal Zainol, 2023: |"Kepayang Kampung Bersejarah", hlm.9-11).

1875: Perang Perak

Ringkasan peristiwa: “Toh Senongsa Seri Nara Wangsa yang terakhir ialah Itam Dewi bin Panglima Kinta Seri Amar Bangsa DiRaja V Ngah Gapor. Penglibatan beliau dan kekandanya iaitu Panglima Kinta Seri Amar Bangsa DiRaja V Il Ngah Jabor dalam pembunuhan J. W.W. Birch menyebabkan beliau dibuang ke Skudai, Johor bersama Sultan Perak yang ke-25 Sultan Ismail Mu'abidin Riayat Shah dan seterusnya gelaran Toh Senongsa Seri Nara Wangsa dimansuhkan dalam sistem pemerintahan Kesultanan Melayu Perak oleh British yang ketika itu menguasai pemerintahan Perak.” (Mohamed Faizal Zainol, 2023: |"Kepayang Kampung Bersejarah", hlm.11).

Tempat pengunduran Sultan Ismail: “Sultan Ismail membawa bersamanya alat-alat kebesaran pertabalan kesultanan Perak dan 20 ekor gajah. Baginda meminta bantuan penduduk-penduduk Kampung Kepayang untuk berlindung dan turut serta menentang tentera-tentera British dan orang-orang Mandailing. Kampung Kepayang ketika itu di bawah naungan Dato Panglima Kinta V Il Ngah Jabor dan diketuai oleh adindanya Toh Senongsa Seri Nara Wangsa IX Itam Dewi menjadi lokasi persembunyian sementara bagi Sultan Ismail dan pengikut-pengikutnya. Lokasi ini adalah dipercayai merujuk kepada kawasan berdekatan Masjid Warisan Al-Khariah, Kampung Kepayang. ….. Setelah mendapati lokasi Kampung Kepayang tidak selamat daripada buruan tentera-tentera British dan orang-orang suku Mandailing, Sultan Ismail bersumpah dengan memacak pedangnya ke tanah bahawa baginda akan kembali memerintah negeri Perak suatu hari nanti. Kemudian baginda bersama pengikut-pengikutnya meredah hutan belantara ke Chemor. Mereka melintasi laluan Jalong, Ulu Piah, terus ke Krunei, dan memasuki Kedah. Sultan Ismail dan pengikut-pengikutnya telah dijerat oleh Siam di Patani atas bantuan William Maxwell.” (Mohamed Faizal Zainol, 2023: |"Kepayang Kampung Bersejarah", hlm.23-24).

Kesan penglibatan: “Kesan penglibatan Dato Panglima Kinta V Il Ngah Jabor dalam pembunuhan J. W.W. Birch menyebabkan beliau dan keturunannya yang dikenali sebagai keturunan Dato Panglima Kinta Pasak Kepayang disenarai hitamkan oleh British dan tidak lagi dibenarkan untuk memegang jawatan Dato Panglima Kinta. Lazimnya, jawatan Dato Panglima Kinta dipegang secara bergilir antara keturunan Dato Panglima Kinta Pasak Paloh dan keturunan Dato Panglima Kinta Pasak Kepayang. Selepas Perang Perak 1875, tiada lagi berlakunya penggiliran jawatan dan jawatan Dato Panglima Kinta kekal dipegang oleh keturunan Dato Panglima Kinta Pasak Paloh manakala jawatan Toh Senongsa Seri Nara Wangsa dimansuhkan dalam sistem pemerintahan Kesultanan Melayu Perak. ” (Mohamed Faizal Zainol, 2023: |"Kepayang Kampung Bersejarah", hlm.26-27).

1884: Pembebasan Ngah Jabor

“Dato Panglima Kinta Ngah Jabor telah dibebaskan secara rahsia oleh Hakim Raja Idris (Sultan Idris) setelah dipenjara di Singapura bermula 1877 sehingga 1884 dan kembali ke Kampung Kepayang. Dato Panglima Kinta Ngah Jabor menghembuskan nafas terakhir di Kampung Kepayang dan dikebumikan berhampiran Masjid Warisan Al-Khairiah, Kampung Kepayang. Makam beliau terletak di bahagian tengah antara makam moyangnya iaitu Dato Panglima Kinta Pertama Toh Tambak bin Maharaja Kinta Toh Chandang dan makam datuknya, Dato Panglima Ill Toh Changkat Rembiah bin Dato Panglima Kinta Pertama Toh Tambak.” (Mohamed Faizal Zainol, 2023: |"Kepayang Kampung Bersejarah", hlm.25).

kg_kepayang.1757670702.txt.gz · Last modified: by sazli